Media Coverage

Kerjasama ECERDC dan Yayasan Mykasih tingkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli

JELI, 18 Mac (Bernama) — Kerjasama antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Yayasan MyKasih mampu meningkatkan taraf ekonomi, pendidikan dan kesihatan masyarakat Orang Asli di negeri ini, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kedua-dua pihak telah membantu kerajaan secara aktif dalam mengatasi masalah keciciran pendidikan di kalangan anak-anak masyarakat tersebut selain mewujudkan peluang ekonomi dan meningkatkan taraf kesihatan.

“Namun usaha tersebut perlu dipertingkatkan lagi kerana masih terdapat di kalangan masyarakat tersebut khususnya di perkampungan Orang Asli Sungai Rual di sini, masih terkebelakang berbanding kaum itu di negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Empower ECER Sungai Rual dan Program Empower ECER-MyKasih di sini, hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata bantuan makmal komputer dan modal perniagaan kepada kaum itu di perkampungan tersebut merupakan antara usaha bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Kita mahu melihat lebih ramai pelajar Orang Asli dari Sungai Rual memperolehi kecemerlangan dalam akademik dan lebih ramai usahawan daripada kalangan mereka,” katanya.