Media Coverage

Program PRIHATIN Kasih dilancar di lapan negeri Ogos ini

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan memaklumkan projek perintis Program PRIHATIN Kasih di bawah pakej PEMERKASA akan dilancarkan di lapan negeri pada bulan Ogos depan berikutan maklum balas positif yang diterima oleh penerima.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, bagi bulan Ogos, projek itu akan dilancarkan di Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Terengganu.

Katanya, empat lagi negeri iaitu  Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan Sarawak selain di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan pula akan dilancarkan antara bulan September hingga Oktober depan.

“Fasa pertama program ini telahpun dilaksanakan di Selangor dan Kuala Lumpur pada 1 Julai lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Program bantuan barangan dapur ini disalurkan secara tanpa melalui penggunaan MyKad dan akan memanfaatkan 300,000 isi rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, keluarga yang menerima PRIHATIN Kasih dipilih daripada keluarga miskin bandar dengan mengambil kira  pangkalan data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan e-Kasih yang seterusnya disemak silang dengan pengkalan data Bantuan Prihatin Rakyat.

Menurut kementerian itu, PRIHATIN Kasih melibatkan bantuan bulanan sebanyak RM100 untuk tiga bulan yang boleh digunakan untuk pembelian barangan makanan asas seperti makanan dalam tin, susu bayi, beras, minyak masak, telur, dan sebagainya berdasarkan pilihan isi rumah.

“Program PRIHATIN Kasih ini melibatkan lebih daripada 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco) serta kedai-kedai runcit,” katanya.

Kenyataan itu berkata, penerima PRIHATIN Kasih yang layak akan menerima SMS dari MyKasih untuk mengesahkan status mereka sebagai penerima manfaat di bawah program ini.

“Mereka turut menerima tarikh dan masa untuk sesi taklimat orientasi di kedai runcit yang terdekat,” katanya.

PRIHATIN Kasih dengan peruntukan RM100 juta ini telah diumumkan sebagai salah satu langkah pakej PEMERKASA bagi membantu kos sara hidup bagi golongan miskin bandar.

Maklumat lanjut boleh didapati di http://www.mykasih.com.my/site/prihatin-kasih/ -K! ONLINE