Kepentingan ramai diambil kira

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Penutupan Jalan Datuk Sulaiman 1 yang menghubungkan Kampung Sungai Penchala dengan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) dibuat setelah mengambil kira kepentingan penduduk di kedua-dua kawasan terlibat.

Justeru, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin meminta semua pihak supaya menerima keputusan itu yang dibuat seiring dengan usaha-usaha pembangunan TTDI dan kawasan berhampirannya.

“Saya difahamkan laluan sedia ada agak kecil dan laluan baru yang dibina nanti dijangka bukan sahaja lebih memberi keselesaan dan kemudahan kepada penduduk tetapi dapat meningkatkan nilai hartanah kawasan sekitar termasuk Kampung Sungai Penchala,’’ katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan program ‘Jalinan Ikhtiar’ bersama Sime Darby Berhad dan Yayasan Mykasih di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rasa tidak puas hati penduduk Kampung Sungai Penchala mengenai penutupan Jalan Datuk Sulaiman 1 oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak dua bulan lalu.

Penduduk mendakwa, keputusan pihak berkuasa tempatan itu dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) mengambil semula lapan lot tanah di kampung berkenaan bagi membina jalan keluar masuk baru sebagai menidakkan hak penduduk terbabit.

Sabtu lalu, seramai kira-kira 50 penduduk dan pemilik tanah kampung berkenaan mengadakan sesi bantahan sebagai gesaan agar laluan tersebut dibuka semula selepas rayuan mereka sebelum ini tidak diendahkan.

Raja Nong Chik berkata, sekiranya ada perkara berbangkit antara penduduk berkenaan, mereka perlu mengadakan perbincangan sesama sendiri dan tidak terus menyalahkan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan pengambilan lapan lot Tanah Rizab Melayu yang didakwa melibatkan kos RM8 hingga 10 juta bagi membina jalan baru yang menghubungkan kedua-dua kawasan itu.

Sementara itu, program kebajikan MyKasih itu merupakan sistem pembayaran elektronik bagi mengagihkan bantuan wang tunai kepada golongan sasaran menerusi MyKad.

“Dengan jumlah yang diterima sebanyak RM40 setiap dua minggu, pembelian boleh dilakukan di pasar raya yang mengambil bahagian. Proses pembayaran pula mudah, tiada pertukaran wang tunai atau tandatangan yang diperlukan,” katanya.

Beliau menambah, usaha tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sime Darby kepada masyarakat dan harus dicontohi bagi membantu meringankan bebanan keluarga golongan sasaran.

Artikel Penuh: Utusan Online