PRIHATIN Kasih Soalan Lazim

  1. Pengenalan
    1. Apakah itu PRIHATIN Kasih?
      PRIHATIN Kasih adalah penyediaan bantuan makanan tanpa tunai di bawah pakej rangsangan PEMERKASA yang diumumkan oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato Seri Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yassin pada bulan Mac 2021. Objektif PRIHATIN Kasih adalah untuk meringankan kos sara hidup bagi golongan miskin dan golongan miskin bandar.
    2. Siapa yang layak menerima PRIHATIN Kasih?
      Penerima bantuan di bawah program PRIHATIN Kasih TELAH PUN DIPILIH dan dikenalpasti melalui data JKM serta sistem e-Kasih yang telah disemak silang dengan data BPR.
      Penerima yang telah dikenalpasti akan menerima SMS dari MyKasih yang memaklumkan mengenai status mereka yang disahkan sebagai penerima di bawah program, serta tarikh dan masa untuk sesi taklimat orientasi di kedai runcit yang terdekat.
    3. Adakah saya perlu memohon PRIHATIN Kasih?
      Penerima telahpun dikenalpasti dari senarai yang sudah terdaftar di pangkalan data kerajaan. Oleh itu, TIADA PERMOHONAN diperlukan.
    4. Bagaimana program PRIHATIN Kasih dilaksanakan?
      Setelah penerima telah diluluskan dan didaftarkan ke program, akaun akan dibuka berdasarkan MyKad penerima dalam sistem kami di mana elaun perbelanjaan akan disimpan. Penerima akan menerima elaun bulanan sebanyak RM 100 selama tiga bulan dari Yayasan MyKasih melalui MyKad mereka untuk membeli barang makanan penting. Kedai runcit yang mengambil bahagian dalam program bantuan makanan tanpa tunai akan mempunyai infrastruktur sistem pembayaran MyKasih di dalam premis mereka di mana penerima dapat membuat pembayaran menggunakan MyKad.
  2. Pembayaran
    1. Berapakah jumlah yang akan diterima oleh penerima PRIHATIN Kasih di bawah program ini?
      Penerima PRIHATIN Kasih akan menerima elaun bantuan makanan tanpa tunai sebanyak RM 100 setiap bulan melalui akaun MyKad mereka untuk tempoh keseluruhan tiga (3) bulan. Contohnya, jika pembayaran pertama dilakukan pada bulan Julai 2021, jadualnya adalah seperti berikut:
      Bulan Jumlah
      Julai 2021 RM 100
      Ogos 2021 RM 100
      September 2021 RM 100
      Jumlah RM 300
    2. Bilakah elaun bantuan makanan akan disalurkan kepada penerima PRIHATIN Kasih?
      Pembayaran akan disalurkan ke akaun MyKad penerima pada 1 haribulan setiap bulan, selama tiga (3) bulan.
    3. Di manakah boleh saya membeli barangan makanan/runcit di bawah program ini? Apakah barangan makanan/runcit yang boleh saya beli?
      Penerima yang layak akan diberi penerangan mengenai kedai runcit terdekat untuk membeli keperluan runcit asas. MyKasih mempunyai lebih daripada 250 rakan runcit di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), serta pasar raya dan pasar mini bebas.

      Penerima boleh membeli barangan runcit asas daripada 10 kategori produk yang diluluskan iaitu beras, mi, roti, biskut, telur, perasa, tepung, minyak masak, makanan dalam tin dan minuman.

    4. Berapa lamakah tempoh penggunaan dana?
      Penerima PRIHATIN Kasih boleh menggunakan elaun bantuan makanan di kedai runcit yang mengambil bahagian antara 1 Julai 2021 dan 31 Disember 2021. Dana baki yang belum dibelanjakan untuk bulan tersebut akan dibawa ke bulan berikutnya. Walau bagaimanapun, sebarang dana baki yang tidak digunakan sepenuhnya pada akhir tempoh program iaitu 31 Disember 2021 akan luput secara automatik dari akaun pemohon.
Program Prihatin Kasih