Media Coverage

Hess aids 200 families in Kampung Pasir Linggi, Kelantan.

KUALA LUMPUR: Seramai 200 keluarga di Kampung Pasir Linggi, Kelantan hanya perlu menunjukkan MyKad untuk menerima elaun sebanyak RM80 sebulan, menerusi program makanan MyKasih Love My Neighbourhood.

Program itu adalah inisiatif Hess Malaysia dengan kerjasama Yayasan MyKasih, untuk isi rumah yang berpendapatan bulanan berjumlah RM1,500 ke bawah. 

Naib Presiden Hess Asia, Zhiyong Zhao, berkata bagi menjayakan program itu, Hess Malaysia menyumbang sebanyak RM112,000 untuk membantu 200 keluarga yang memerlukan membeli barangan keperluan.

Beliau berkata, setiap keluarga itu boleh menggunakan wang bantuan itu untuk membeli barang keperluan asas seperti beras, roti, biskut, tepung dan minyak masak di kedai runcit untuk tempoh enam bulan.

Katanya, tujuan program itu diadakan adalah untuk memberi kesan positif kepada komuniti selain membantu mereka yang berada dalam keadaan sukar ketika ini.

“Kami sedar dalam keadaan sekarang, barangan keperluan asas adalah sesuatu yang sangat diperlukan bagi kebanyakan isi rumah yang terkesan dengan COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zhao berkata, penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai menggunakan teknologi cip MyKad mampu memastikan bantuan kebajikan disalurkan kepada penerima yang betul secara cekap, telus dan selamat sekali gus mengurangkan risiko serta cabaran dalam menguruskan logistik bantuan makanan.

Katanya, inisiatif itu adalah lanjutan dari sokongan Hess Malaysia terhadap Skim Dermasiswa MyKasih ‘Love My School’ di Kelantan, yang bertujuan untuk membantu pelajar kurang bernasib baik mendapat pendidikan berkualiti dan membina kehidupan yang lebih baik untuk keluarga mereka. 

“Program ini dimulakan pada tahun lalu dan memberi manfaat kepada hampir 100 pelajar sekolah rendah dari komuniti Orang Asli di Gua Musang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas Bersama Yayasan MyKasih, Tan Sri Dr Ngau Boon Keat, berkata menerusi inisiatif itu, penerima bantuan akan mendapat sumbangan menggunakan MyKad dan boleh memilih barang makanan yang perlu untuk keluarga mereka. 

Katanya, pihaknya berterima kasih kepada Hess Malaysia kerana sudi mengadakan kempen sedemikian bagi membantu keluarga yang memerlukan ketika ini.

“Kami berharap syarikat lain akan mendapat inspirasi dari Hess Malaysia dan turut menggunakan platform pengagihan sumbangan tanpa tunai dalam keadaan pandemik COVID-19 ketika ini,” katanya.