Tentang Kami

Kisah Kami

Di Yayasan MyKasih, Kami Percaya Bahawa Maruah Adalah Hak, Bukan Keistimewaan

Pada Disember 2008, sejurus selepas projek perintis bantuan tanpa tunai melalui MyKad berjaya mendapat kelulusan dan sokongan daripada Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Dalam Negeri, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan Bank Negara Malaysia, Yayasan MyKasih ditubuhkan.

Diasaskan pada tahun 2009 oleh Tan Sri Dr. Ngau Boon Keat dan isteri beliau, Puan Sri Jean Ngau, Yayasan MyKasih (MyKasih) dibina atas nilai-nilai murni yang disemai daripada pengalaman peribadi. Sewaktu kecil, Tan Sri Dr. Ngau memahami erti kelaparan. Namun, dalam keperitan itu, beliau turut menyaksikan bagaimana komuniti yang prihatin mampu membawa harapan dan perubahan.

Maka tidak hairanlah MyKasih bermula dengan program perintis Love My Neighbourhood bersama 25 keluarga di Selayang, di mana mereka bukan sahaja menerima bantuan makanan, tetapi turut diperkasa untuk membuat pilihan sendiri.

Di bawah program bantuan makanan ini, keluarga penerima dapat membeli barangan runcit melalui sistem pembayaran tanpa tunai yang cekap, iaitu menggunakan teknologi cip di dalam MyKad mereka.

MyKasih Love My Neighbourhood
MyKasih Love My School

Pada tahun 2012, melalui program dermasiswa yang dinamakan Love My School, Yayasan MyKasih meluaskan penyaluran bantuan ke bilik darjah dengan memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk menjalani kehidupan persekolahan dengan rasa berdikari. Di sekolah, teknologi proprietari yang sama membolehkan pelajar membeli makanan di kantin dan alat tulis di kedai buku sekolah. Inisiatif pendidikan lain yang disokong oleh Yayasan MyKasih termasuk literasi digital, pembangunan sukan serta pendidikan STEM seperti robotik dan akuaponik.

Sejak itu, MyKasih telah bekerjasama dengan kementerian kerajaan, agensi zakat, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan untuk meluaskan usahanya, bukan sahaja dalam pengagihan bantuan tanpa tunai tetapi juga melalui saringan kesihatan, sokongan pendidikan dan sukan di lebih 100 sekolah rendah dan menengah, serta peluang menjana pendapatan melalui latihan kemahiran dan keusahawanan.

Selepas 15 tahun, program bantuan makanan dan persekolahan MyKasih kini beroperasi di seluruh Malaysia, dimana bantuan disalurkan kepada pelbagai lapisan masyarakat. Selain menguruskan program CSR bagi lebih 20 penderma sektor swasta, MyKasih kini terlibat dalam melaksanakan Program Sumbangan Asas Rahmah oleh Kerajaan Peresekutuan untuk 8.1 juta penerima.

Walaupun landskap kebajikan sentiasa berubah dan mencabar dari segi mekanisme agihan bantuan secara cekap, selamat dan telus; Yayasan MyKasih tetap dengan kepercayaan yang mudah dan bermakna: iaitu apabila seseorang dilayan dengan prihatin dan hormat, komuniti akan dapat berkembang maju.

Visi Kami

Untuk membina kejiranan
yang penyayang dan prihatin

Misi Kami

Untuk membantu keluarga
mendapatkan keperluan asas seperti makanan dan pendidikan

Pencapaian Kami

Dengan hanya 25 buah keluarga sebagai permulaan, kini program MyKasih telah berkembang menjadi satu gerakan nasional yang berteraskan keprihatinan.

Semenjak pelaksanaan inisiatif perintis Love My Neighbourhood, Yayasan MyKasih, sebuah organisasi berdaftar yang dikecualikan cukai, telah menyalurkan sebanyak RM10.4 bilion kepada lebih 23 juta keluarga dan pelajar di seluruh Malaysia.

Pencapaian ini terlaksana hasil daripada kepercayaan kerajaan Malaysia serta penderma korporat dan individu yang menyumbang dengan keyakinan bahawa bantuan sampai kepada yang memerlukan melalui sistem yang selamat, telus dan bersasar.

Semua sumbangan tunai kepada Yayasan MyKasih adalah dikecualikan cukai.

Anugerah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia 2018: Tiada yang Ketinggalan

Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan pelan tindakan bersama untuk keamanan, maruah dan kemakmuran untuk manusia dan alam sekitar. Kesemua 17 matlamat ini menyeru tindakan global yang memandang ke arah masa depan yang lebih adil dan mampan menjelang tahun 2030.

Usaha Yayasan MyKasih selari dengan visi ini, khususnya dalam menyokong komuniti rentan melalui penyampaian bantuan berasaskan teknologi yang memupuk maruah dan memberi kebebasan untuk memilih.

Sebagai pengiktirafan terhadap usaha ini, Yayasan MyKasih telah menerima Anugerah PBB Malaysia bertemakan ’Tiada Yang Ketinggalan’ (’Leaving No One Behind’) sempena sambutan ulang tahun ke-73 PBB pada tahun 2018.

Anugerah ini mengiktiraf sistem pengagihan bantuan tanpa tunai yang telus, boleh diaudit (dijejak) dan bersasar; yang telah diguna pakai oleh kementerian, kerajaan negeri dan syarikat korporat dalam inisiatif tanggungjawab sosial mereka.

Usaha Yayasan MyKasih menyokong 13 daripada 17 matlamat SDG, iaitu daripada membasmi kelaparan dan memajukan pendidikan, kepada mengurangkan ketidaksamaan dan mempromosi pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Dari satu komuniti ke komuniti seterusnya, MyKasih menghidupkan semangat SDG melalui kerjasama erat sektor awam dan swasta, dengan komitmen untuk tidak meninggalkan sesiapa.

Perjalanan Kami

Kejayaan Bermatlamat