Dermasiswa
Program dermasiswa Love My School diwujudkan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan keluarga serta memastikan pelajar mendapat kelengkapan persekolahan untuk belajar, berkembang dan berjaya.
Pelajar sekolah rendah dan menengah yang layak dikenalpasti oleh pihak sekolah dan disyorkan kepada penderma untuk tajaan. Kelayakan bergantung pada pendapatan isi rumah.
Sebaik diluluskan, bantuan bulanan sebanyak RM80 (sekolah rendah) / RM100 (sekolah menengah) akan dikreditkan ke dalam kad pintar pelajar MyKasih yang dipautkan kepada MyKad pelajar masing-masing. Jumlah ini boleh digunakan untuk membeli makanan di kantin atau mendapatkan buku dan alat tulis di kedai sekolah. Bantuan ini merangkumi segala keperluan untuk menyemarakkan hari mereka dan kekal bermotivasi.


Bantuan ini juga boleh diperluaskan untuk merangkumi kelengkapan Kembali Ke Sekolah seperti pakaian seragam, kasut, beg dan keperluan lain menjelang tahun akademik baharu. Setiap bantuan diberikan untuk tempoh satu tahun akademik dengan penyambungan tertakluk kepada semakan tahunan berdasarkan prestasi akademik pelajar.
Dengan bantuan ini, pelajar tidak lagi perlu bimbang tentang makanan atau kelengkapan sekolah, membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang benar-benar penting, iaitu pendidikan.

Aktiviti Pembangunan Pelajar
Selain bantuan tanpa tunai, MyKasih turut membantu sekolah-sekolah angkat dengan penyediaan peralatan dan program yang memperkaya pengalaman pembelajaran di dalam bilik darjah. Ini termasuk makmal komputer, set robotik, kebun akuaponik, program sukan dan muzik serta kelas tambahan dalam subjek Bahasa Inggeris, literasi kewangan dan kemahiran abad ke-21 yang lain.
Kami berharap dengan meluaskan ufuk dan membina keyakinan mereka, pengalaman ini akan dapat membantu pelajar berdaya dan seterusnya membuka peluang masa depan serta meringankan beban kewangan yang ditanggung keluarga mereka.

Inisiatif Pendidikan Yang Lain

Dana Pendidikan Kanak-Kanak Orang Asli
Dana ini diwujudkan bagi membantu kanak-kanak Orang Asli yang bersekolah di sekolah kebangsaan serta yang mengikuti kelas tambahan di pusat pembelajaran komuniti.





