Bermodal RM10 beli minyak panas, kini bergelar tukang urut

CHE Noorfaezah Mat Nasir menunjukkan sijil perhargaan yang diterima majlis graduasi Program Mekar anjuran Yayasan Petronas di Kuala Terengganu, hari ini. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU: Bermodalkan hanya RM10 untuk membeli minyak panas di sebuah pasar raya di sini, seorang suri rumah kini bergelar tukang urut berjaya dengan pendapatan bulanan mencecah RM5,000.

Kehidupan Che Noorfaezah Mat Nasir, 38, berubah drastik selepas menyertai program Memapankan Ekonomi Asas Rakyat (Mekar) anjuran Yayasan Petronas pada tahun 2020.

Ibu kepada enam anak itu berkata, sebelum menyertai program tersebut, dia mengambil upah melipat kain dan mengemas rumah dengan pendapatan yang tidak menentu kira-kira RM100 sahaja sebulan.

“Ketika itu, nak merasa pegang duit RM50 pun susah apatah lagi RM100. Dah buat macam-macam kerja untuk bantu suami, namun, masih tidak mencukupi hinggalah saya dapat tahu mengenai program Mekar daripada seorang kawan.

“Pada mulanya, niat saya hanya untuk mendapatkan bantuan barang dapur bernilai RM80 sebulan yang disediakan untuk peserta program.

“Lama-kelamaan, timbul minat untuk mengambil upah mengurut sebagai pendapatan tambahan dan buat permulaan, saya hanya ada RM10 untuk dijadikan modal iaitu membeli minyak panas mengurut badan pelanggan,” katanya ketika ditemui pada majlis graduasi Program Mekar anjuran Yayasan Petronas di sini, hari ini.

Menurutnya, guru pembimbing memberi kuota atau sasaran 10 pelanggan pada bulan pertama, namun, disebabkan perkhidmatan yang memuaskan, dia berjaya mendapat 17 pelanggan dan terus meningkat hingga 80 pelanggan setiap bulan ketika ini.

“Alhamdulillah dari kosong tiada apa-apa, kini hidup bertambah selesa, dapat memenuhi keperluan anak-anak sama seperti orang lain. Upah mengurut juga saya tidak tetapkan, terima seikhlas hati dari pelanggan.

“Bagi mengembangkan lagi perniagaan, saya turut menghasilkan sendiri minyak urut ramuan tradisi yang diwarisi dari bapa yang juga seorang tukang urut tradisional sekitar tahun 1990-an,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata, program Mekar berjaya mencapai matlamatnya apabila 35 daripada 45 peserta telah mencapai sasaran bulanan yang ditetapkan, termasuklah peningkatan pendapatan peserta secara kolektif melebihi 100 peratus.

Katanya, selain itu, produk lima peserta MEKAR juga berjaya menembusi beberapa pasaraya, hypermarket dan juga platform perniagaan dalam talian. –UTUSAN ONLINE