PM tinjau program SARA di Mydin Meru Raya

IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meninjau pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu bantuan subsidi bersasar di Pasaraya Mydin Meru Raya, hari ini.

Perdana Menteri yang tiba di perkarangan pasar raya itu jam 11.05 pagi diiringi antaranya Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Ahmad Suaidi Abdul Rahim; dan meluangkan masa kira-kira 30 minit di pasar raya terbabit termasuk di reruai bergerak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Perak.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut sempat menyemak senarai penerima SARA serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di pasar raya berkenaan selain dilihat beramah mesra dengan beberapa penerimanya, sebelum beliau kemudiannya melawat ke sebahagian daripada kawasan bahagian jualan barangan kering.

Program subsidi bersasar SARA ditambah baik oleh kerajaan bermula 22 Januari lalu dengan peruntukan RM700 juta iaitu lonjakan lebih lima kali ganda berbanding perbelanjaan RM130 juta pada tahun lepas yang diagihkan secara berperingkat, dengan pelbagai penambahbaikan lain termasuk diperluaskan kepada 210,000 penerima.

Peruntukan yang lebih besar itu membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima SARA kepada 700,000, berbanding 210,000 pada tahun lalu.

Antara penambahbaikan lain SARA untuk tahun 2024 termasuk memperluas penerima yang layak merangkumi golongan miskin dan miskin tegar, berbanding tahun 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar.

Selain itu penambahbaikan lain SARA adalah meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023; dan penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

Terdahulu Perdana Menteri hadir pada Program Jualan Ikan, Udang dan Sotong Murah Parlimen Tambun 2024 dan Minum Pagi Bersama Penduduk Setempat di Padang Taman Klebang Restu, Klebang, di sini.

Selepas program di Mydin, Anwar yang juga Pengerusi PKR bergerak menziarahi kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta yang juga Naib Pengerusi PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad di Taman Chong Kwee, Tanjung Rambutan, di sini yang kematian bapanya pagi ini.

Selepas itu Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dijadualkan ke Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya untuk menghadiri Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak 2024 dengan beliau dijadual menyampaikan ucapan perasmian penutup konvensyen terbabit jam 4.10 petang ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama para penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ketika hadir pada program tersebut di Mydin Meru Raya, Ipoh hari ini. - foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama para penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ketika hadir pada program tersebut di Mydin Meru Raya, Ipoh hari ini. – foto BERNAMA