Modal RM10, untung urut RM5,000 sebulan

Che Noor Faezah menunjukkan sijil penghargaan program Mekar yang diterima daripada Yayasan Petronas di Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Berbekalkan modal RM10, seorang suri rumah kini menjadi tukang urut berjaya apabila memperoleh berpendapatan lebih RM5,000 sebulan sejak dua tahun lalu.

Che Noor Faezah Mat Nasir, 38, dari Teluk Ketapang, Kuala Nerus tidak menyangka minyak panas berharga RM10 yang dibe­linya berjaya mengubah nasib dia sekeluarga.

“Sebelum ini, saya melakukan pelbagai kerja sampingan untuk membantu suami termasuk mengambil upah melipat kain dan mengemas rumah, tetapi paling banyak pun (pendapatan) hanya RM100 sebulan.

“Saya kemudian tekad memohon menyertai program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (Mekar) anjuran Yayasan Petronas pada 2020,” katanya ketika ditemui selepas sijil penghargaan daripada Yayasan Petronas di sini semalam.

Che Noor Faezah membe­ritahu, guru pembimbing Mekar mencadangkan wanita itu supaya menggunakan kemahiran mengurut yang dipelajari daripada bapanya untuk menjana pendapatan tambahan bagi menampung kehidupan.

Ibu kepada enam anak itu berkata, dia mengikut saranan membeli minyak urut panas di pasar raya di bandar raya ini sebelum memberanikan diri mempromosi perkhidmatan urutan.

“Bermula dengan seorang pelanggan kemudian meningkat kepada 17 orang pada bulan pertama. Ia melepasi sasaran ditetapkan iaitu 10 orang. Sekarang purata pelanggan yang berurut adalah 80 orang sebulan,” katanya.

Perniagaan Che Noor Faezah semakin berkembang selepas wanita itu menghasilkan mi­nyak urut sendiri menggunakan ramuan yang diwarisi daripada bapanya yang juga tukang urut tradisional pada tahun 1990-an.

“Kehidupan kami sekarang jauh lebih selesa dan saya gembira dapat memenuhi keperluan anak-anak,” katanya.

Bermodal RM10 beli minyak panas, kini bergelar tukang urut

CHE Noorfaezah Mat Nasir menunjukkan sijil perhargaan yang diterima majlis graduasi Program Mekar anjuran Yayasan Petronas di Kuala Terengganu, hari ini. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU: Bermodalkan hanya RM10 untuk membeli minyak panas di sebuah pasar raya di sini, seorang suri rumah kini bergelar tukang urut berjaya dengan pendapatan bulanan mencecah RM5,000.

Kehidupan Che Noorfaezah Mat Nasir, 38, berubah drastik selepas menyertai program Memapankan Ekonomi Asas Rakyat (Mekar) anjuran Yayasan Petronas pada tahun 2020.

Ibu kepada enam anak itu berkata, sebelum menyertai program tersebut, dia mengambil upah melipat kain dan mengemas rumah dengan pendapatan yang tidak menentu kira-kira RM100 sahaja sebulan.

“Ketika itu, nak merasa pegang duit RM50 pun susah apatah lagi RM100. Dah buat macam-macam kerja untuk bantu suami, namun, masih tidak mencukupi hinggalah saya dapat tahu mengenai program Mekar daripada seorang kawan.

“Pada mulanya, niat saya hanya untuk mendapatkan bantuan barang dapur bernilai RM80 sebulan yang disediakan untuk peserta program.

“Lama-kelamaan, timbul minat untuk mengambil upah mengurut sebagai pendapatan tambahan dan buat permulaan, saya hanya ada RM10 untuk dijadikan modal iaitu membeli minyak panas mengurut badan pelanggan,” katanya ketika ditemui pada majlis graduasi Program Mekar anjuran Yayasan Petronas di sini, hari ini.

Menurutnya, guru pembimbing memberi kuota atau sasaran 10 pelanggan pada bulan pertama, namun, disebabkan perkhidmatan yang memuaskan, dia berjaya mendapat 17 pelanggan dan terus meningkat hingga 80 pelanggan setiap bulan ketika ini.

“Alhamdulillah dari kosong tiada apa-apa, kini hidup bertambah selesa, dapat memenuhi keperluan anak-anak sama seperti orang lain. Upah mengurut juga saya tidak tetapkan, terima seikhlas hati dari pelanggan.

“Bagi mengembangkan lagi perniagaan, saya turut menghasilkan sendiri minyak urut ramuan tradisi yang diwarisi dari bapa yang juga seorang tukang urut tradisional sekitar tahun 1990-an,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata, program Mekar berjaya mencapai matlamatnya apabila 35 daripada 45 peserta telah mencapai sasaran bulanan yang ditetapkan, termasuklah peningkatan pendapatan peserta secara kolektif melebihi 100 peratus.

Katanya, selain itu, produk lima peserta MEKAR juga berjaya menembusi beberapa pasaraya, hypermarket dan juga platform perniagaan dalam talian. –UTUSAN ONLINE

Yayasan Petronas berjaya tingkatkan taraf hidup golongan B40 menerusi MEKAR

KUALA TERENGGANU 20 Ogos – Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) anjuran Yayasan Petronas telah berjaya meningkatkan taraf hidup 45 buah keluarga B40 di daerah Kuala Nerus, Terengganu.

Program lanjutan kemahiran keusahawanan itu berjaya mencapai matlamatnya apabila 35 peserta mencapai sasaran bulanan yang ditetapkan, termasuklah peningkatan pendapatan peserta secara kolektif melebihi 100 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata, selain daripada itu, produk lima peserta MEKAR juga berjaya menembusi pasaran pasar raya, hypermarket dan juga platform perniagaan secara dalam talian.

Menurutnya, program siri latihan berterusan selama setahun tersebut dijalankan secara kolaborasi bersama Yayasan MyKasih dengan kerjasama agensi pembangunan keusahawanan tempatan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Amanah Ikhtiar. 

“Program MEKAR adalah salah satu komitmen berterusan Yayasan Petronas dalam menyokong usaha kerajaan membasmi kemiskinan dalam kalangan golongan B40 di beberapa negeri terpilih di negara ini. 

“Ia merupakan kesinambungan daripada kejayaan program keusahawanan terdahulu anjuran Petronas iaitu Program Planting Tomorrow yang dijalankan pada 2018,” katanya ketika berucap di majlis graduasi program MEKAR Kuala Nerus di sini hari ini.

Majlis graduasi tersebut disempurnakan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerus, Sharifah Noornaimah Syed Mahmood. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Petronas, Tengku Noraida Tengku Mahmood dan Pengurus Kanan Petronas Pantai Timur, Yusri Anuar Ahmad.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebaik sahaja menamatkan program Planting Tomorrow, para peserta telah pun memulakan perniagaan masing-masing.

“Sehubungan itu, intipati program MEKAR digubal di dalam usaha memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan lebih kompetitif dengan memberi penekanan kepada strategi untuk mengembangkan perniagaan.

“Sepanjang mengikuti program, setiap peserta dibekalkan dengan kemahiran pengurusan perniagaan seperti pengenalan kepada asas perakaunan seperti percukaian, penyediaan penyata untung rugi, merekod aliran tunai harian dan perbelanjaan. 

“Selain daripada itu, mereka turut didedahkan dengan pemasaran produk yang kreatif dan penetapan misi dan visi yang jelas kepada pembangunan bisnes,” katanya.

Perkongsian kisah kejayaan peserta program MEKAR senpanq majlis graduasi di Kuala Terengganu hari ini.

Untuk terus berdaya saing di dalam perniagaan, program MEKAR turut memberi penekanan kepada memantapkan personaliti usahawan. 

Melalui siri motivasi keusahawanan, mereka didedahkan dengan kepentingan anjakan minda untuk terus mencipta kejayaan di dalam perniagaan yang diceburi. 

Setiap peserta turut dilengkapkan dengan kemahiran insaniah, selain daripada pembinaan imej dan penampilan untuk meningkatkan keyakinan diri. 

Selain daripada itu, mereka juga didedahkan dengan amalan hidup sihat seperti kesihatan mental dan amalan pemakanan sihat yang dikendalikan oleh pakar perunding berkaitan. 

Selain daripada program MEKAR yang dijalankan di Kuala Nerus ini, Yayasan Petronas bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) turut menjalankan program empower ECER-MEKAR bagi membantu 918 golongan berpendapatan rendah di Kemaman, Dungun, Tanah Merah, Pasir Putih dan Kuala Lipis menjana pendapatan golongan sasar melalui siri latihan mempertingkatkan kemahiran dan keusahawanan.

Ibu tunggal peroleh RM5,000 sebulan jual nasi dagang

KUALA TERENGGANU – Berkat usaha dan semangat untuk mengubah nasib keluarga, seorang ibu tunggal mampu meraih RM5,000 sebulan hasil jualan nasi dagang sejak menyertai Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) oleh Yayasan Petronas.

Memulakan perniagaan sejak 1992, Zainah Mohd Nor, 62, menyara kehidupan dengan membuat juadah sarapan pagi seperti nasi dagang, nasi minyak dan nasi lemak yang dihantar ke beberapa gerai dan kedai makan sekitar daerah Kuala Nerus.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, hasil jualan perniagaannya kini melonjak daripada RM1,500 kepada RM5,000 sebulan sejak menyertai program itu pada 2020.

“Selepas mengikuti program MEKAR banyak perkara baharu yang saya pelajari antaranya kaedah mengiklankan perniagaan di media sosial.

“Di samping itu, saya juga dapat menambah kenalan dalam kalangan usahawan lain sekali gus membantu saya mempromosikan lagi perniagaan ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Graduasi MEKAR Kuala Nerus, di sini, pada Sabtu.

Zainah yang tinggal di Rumah Murah Teluk Ketapang, Seberang Takir memberitahu rutin hariannya seawal jam 3 pagi untuk menyiapkan semua jenis makanan tersebut sebelum dihantar ke kedai.

“Ketika memulakan perniagaan pada 1992, anak-anak bantu untuk jual juadah di sekolah dengan harga 30 sen sebungkus. Pada 2017, saya memperoleh pendapatan sekitar 1,500 sebulan dengan membekalkan sarapan di kedai iaitu nasi dagang, nasi minyak dan nasi lemak.

“Selepas mengikuti Program Planting Tomorrow pada 2018 dan Program MEKAR, saya berjaya melangkah keluar daripada keluarga berpendapatan B40. Ia juga hasil sokongan dan bantuan oleh empat anak saya,” katanya kehilangan suami tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata, program MEKAR berjaya mencapai objektif apabila 35 peserta telah mencapai sasaran bulanan ditetapkan, termasuk peningkatan pendapatan secara kolektif melebihi 100 peratus.

Katanya, produk lima peserta MEKAR juga juga berjaya menembusi beberapa pasar raya serta platform perniagaan dalam talian.

Jelas beliau, Program MEKAR adalah salah satu usaha berterusan Yayasan Petronas bagi menyokong kerajaan membasmi kemiskinan dalam kalangan golongan B40 di beberapa negeri terpilih di negara ini.

“Kita telah menjalankan beberapa kolaborasi antaranya bersama Yayasan MyKasih dan kerjasama agensi pembangunan keusahawanan tempatan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

“Sepanjang mengikuti program, setiap peserta dibekalkan dengan kemahiran pengurusan perniagaan seperti pengenalan kepada asas perakaunan seperti percukaian, penyediaan penyata untung rugi, merekod aliran tunai harian dan perbelanjaan,” ujarnya.

Murid Orang Asli pamer kebolehan kendali robot

JOHN Lester (kiri), Mohd Haziq Hazry Hazroi, dan Siti Raudah melakukan demonstrasi aktiviti berasaskan robotik pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Terengganu 2022 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. FOTO BERNAMA

Kuala Nerus: Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Terengganu di Kompleks Sukan Negeri, di sini, memberi peluang kepada murid Orang Asli dari suku Semaq Beri untuk menunjukkan kehandalan mereka mengendalikan peralatan robotik.

Pemangku Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Insan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Ismail Surip berkata, penyertaan tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pergam, Kemaman itu memupuk keyakinan mereka untuk berhadapan orang ramai.

“Selain itu, ia juga menunjukkan kepada pengunjung bahawa anak-anak murid Orang Asli ini sebenarnya mempunyai minat mendalam terhadap bidang sains dan teknologi,” katanya ketika ditemui di Jelajah AKM Negeri Terengganu, Kompleks Sukan Negeri, di sini, hari ini.

Ismail berkata, SK Sungai Pergam antara 18 sekolah di pantai Timur yang menyertai program Pembelajaran Robotik yang dilaksanakan oleh Yayasan MyKasih (MyKasih) bersama ECERDC.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Sungai Pergam Mohd Shafii A.Bakar berkata, pembabitan Siti Raudah Mohd Hairi dan John Lester masing-masing berusia 12 tahun serta Mohd Haziq Hazri Azroi, 10, dapat membuka mata masyarakat bahawa murid sekolah Orang Asli juga mampu bersaing dengan murid sekolah lain.

“Robot yang ditunjukkan anak-anak murid saya ini dipanggil ‘Robot Sasuper’ yang mempunyai ciri-ciri pengintegrasian kepada pelbagai jenis mata pelajaran. Ia dapat meningkatkan kreativiti murid dan membantu mereka lebih memahami satu-satu mata pelajaran,” katanya.

Mohd Shafii berkata, penyertaan sekolahnya dalam program Pembelajaran Robotik sejak 2020 itu membantu meningkatkan kehadiran murid ke sekolah yang teruja untuk melakukan aktiviti berasaskan robotik.

“Sebelum ini (sebelum 2020) kehadiran hanya sekitar 57 peratus namun sekarang kita dapat lihat kehadiran murid mencapai 84 peratus,” katanya.

Sementara itu, Siti Raudah berkata, dia gembira menyertai Jelajah AKM kali ini kerana dapat menunjukkan kemahiran mengendalikan robot di atas pentas yang besar dengan kehadiran penonton yang ramai.

“Saya harap program ini akan dilaksanakan lagi supaya saya dapat berada di atas pentas bersama rakan-rakan,” katanya.

Special Notice on KPWKM’s MyKasih Kapital programme

We refer to recent announcements by the Ministry of Women, Family and Community Development (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, KPWKM) concerning a microfinancing scheme for women entrepreneurs named MyKasih Kapital. We understand from media publications that MyKasih Kapital aims to provide women with small grants to encourage them to do business.We wish to clarify that the MyKasih Kapital programme is in NO WAY RELATED to MyKasih Foundation.MyKasih Foundation is a private non-profit organisation, with a mission to help B40 families and students through food aid, education and sustainable livelihood programmes.For any inquiries on the Ministry’s MyKasih Kapital programme, please visit their website on www.yknm.org.my or email [email protected]

Kami merujuk kepada pengumuman oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkenaan skim pembayaran mikro untuk usahawan wanita yang digelar MyKasih Kapital.Kami difahamkan daripada penerbitan media bahawa MyKasih Kapital menyediakan geran kecil untuk memupuk semangat keusahawanan dikalangan wanita.Kami ingin menjelaskan bahawa program MyKasih Kapital TIADA KAITAN sama sekali dengan Yayasan MyKasih.Yayasan MyKasih adalah sebuah organisasi swasta yang tidak berasaskan keuntungan (non-profit), dengan misi membantu keluarga dan pelajar dari golongan B40 melalui bantuan makanan, pendidikan dan program sara hidup.Untuk sebarang pertanyaan mengenai program MyKasih Kapital yang dijayakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), sila layari laman web Yayasan Kebajikan Negara Malaysia di www.yknm.org.my atau e-mel [email protected]