Novartis Malaysia sokong Inisiatif Saringan Kesihatan

KUALA LUMPUR: Novartis Malaysia menyokong Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) dianjurkan oleh

kerajaan dengan kerjasama Protect Health dan My Kasih untuk menangani isu kelaziman penyakit tidak berjangkit yang semakin membimbangkan.

Syarikat dalam satu kenyataan berkata, saringan kesihatan ialah cara yang berkesan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal sakit jantung.

Peluang pemulihan lebih tinggi jika tindakan awal diambil.

Katanya, lebih separuh daripada individu yang menjalani saringan menghadapi risiko NCD menurut data daripada Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan.

“Dengan tekad untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang kesihatan, Novartis Malaysia menganjurkan kempen kemasyarakatan untuk menangani isu kelaziman Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) seiring Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan anjuran kerajaan.

“Kempen ini disasarkan terutamanya kepada golongan yang kurang mendapat perhatian, agar mereka mengambil tindakan dan mengamalkan gaya hidup sihat,” kata kenyataan itu.

Menurut syarikat itu, sistem kesihatan Malaysia dibebani kesan keleluasaan penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, diabetes dan kanser, yang aalah punca kematian utama di Malaysia. Saringan kesihatan dan tindakan awal boleh diambil untuk mencegah penyakit ini.

Pasukan yang ter babit dalam program itu mengunjungi beberapa lokasi penting di seluruh Malaysia untuk mengendalikan saringan kesihatan percuma dan menganjurkan ceramah.

“Barisan penceramah telah mengupas topik kesihatan umum dan pemakanan sihat. Program tiga bulan ini dijayakan dengan kerjasama ProtectHealth dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

“Program saringan pertama dalam kempen ini telah diadakan di PPR Sri Stulang, Johor Bharu.

“Daripada 294 orang yang mendaftar untuk program PeKa B40, 35 peratus layak untuk menjalani saringan,” katanya.

Pasukan itu katanya, akan mengunjungi kawasan selatan, tengah dan utara Malaysia dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk menyantuni golongan yang kurang mendapat perhatian.

Presiden Negara Novartis Malaysia, Elwakil Mohamed, berkata:

“Data yang diperolehi daripada Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan anjuran Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa dalam kalangan individu yang menjalankan pemeriksaan, 47 peratus daripada mereka disahkan menghidap satu atau lebih NCD, manakala 46 peratus menghadapi faktor risiko NCD.

“Hakikat bahawa ramai orang tidak menyedari tahap kesihatan mereka amat membimbangkan,” katanya.

Tambah beliau, Novartis menganjurkan kempen berkenaan bukan sahaja untuk mentafsirkan semula bidang perubatan untuk menambah baik dan melanjutkan hayat insan, tetapi juga mencetus perubahan positif dalam khidmat penjagaan inovatif.

“Kita sedia maklum bahawa saringan kesihatan adalah satu keperluan, tetapi usaha meningkatkan kesedaran tidak kurang pentingnya.

Ceramah untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kesihatan perlu diadakan untuk mendidik dan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penyakit Tidak Berjangkit, Dr Feisul Mustapha, yang memainkan peranan aktif menyokong Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit di Malaysia berkata, hasil tinjauan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan juga mendapati bahawa bukan sahaja individu berusia lebih 40 tahun, tetapi mereka yang di bawah 40 tahun juga disahkan menghadapi risiko atau sudah mengalami satu atau lebih penyakit tidak berjangkit.

“Kempen menyeluruh seperti ini yang menggalakkan saringan dan berusaha meningkatkan kesedaran tentang kesihatan amat penting untuk membantu rakyat Malaysia mengesan tanda-tanda awal penyakit dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya agar mereka boleh menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Kunjungi https://protecthealth.com.my/overview/ untuk maklumat lanjut tentang program B40 atau

semak kelayakan anda dengan memasukkan nombor kad pengenalan anda di www.pekab40.com.my.